Wednesday, November 21, 2012

Takuti Doa Orang Yang Kita Zalimi

Apabila seseorang itu berdoa maka dia sedang meminta sesuatu. Dia meminta bukannya kepada orang lain atau mana-mana makhluk yang lain tetapi kepada Tuhan yang menjadikannya. Bermakna apabila dia berdoa dia sedang berkata-kata dan meminta kepada Tuhannya.
Tidak kira apa jua bahasa atau nada atau apa sahaja cara sebutannya maka itu adalah urusan dia dengan Tuhannya. Kita tidak boleh marah kerana cara dia berdoa pun adalah urusan dia dengan Tuhan.
Antara doa-doa yang makbul ialah doa orang-orang yang dizalimi. Sabda Rasulullah s.a.w kepada Mu’adh bin Jabal ketika baginda mengutusnya ke Yaman yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a: “Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari).
Sekirannya kita melakukan kezaliman terhadap seseorang maka kita sepatutnya merasa takut terhadap doa orang yang kita zalimi itu. Ini kerana tiada hijab doa orang yang kita zalimi itu dengan Allah tidak kira dia Islam atau bukan Islam!
Katakanlah kita seorang penerbit buku yang sepaptutnya menjelaskan bayaran royalti kepada seorang penulis  buku yang bernaung di bawah syarikat penerbitan kita. Apabila tiba waktu untuk kita menjelaskan bayaran maka kita pun buat tak tau atau kita menipu penulis itu dengan berbagai alasan agar keuntungan ada di pihak kita. Atau kita sengaja menyusahkan penulis buku itu tadi dengan menubuhkan macam-macam jawatankuasa agar kita tidak membayar royalti. Maka itu perbuatan yang zalim namanya.
Pada suatu hari ketika kita berada di dalam sebuah masjid kedengaran oleh kita penulis buku yang sepatutnya mendapat royalti itu tadi berdoa kepada Tuhan agar kita dihancurkan. Maka kita pun merasa takut. Bolehkah kita meroyan marah kerana dia berdoa kepada Tuhan untuk kehancuran kita sedangkan kita berada di pihak yang zalim?
Sepatutnya kita bertemu dengan penulis yang berdoa itu tadi. Meminta maaf kepadanya dan berjanji kepadanya untuk menjelaskan haknya dan meminta dia menarik kembali doanya dan bukannya meroyan satu dunia sehingga orang yang tak tau  pun jadi tau.
Bagaimana pula jika kita ini seorang penerbit buku yang baik dan telah pun menjelaskan bayaran atau hak penulis buku itu tadi? Jangan bimbang, mustahil dia akan mendoakan kehancuran kepada orang yang tidak menzaliminya.

Monday, November 12, 2012

Jual Beli Online : Peniaga Online Perlu Berhati-hati


Penjual yang jujur juga harus berhati hati sedikit kesilapan mungkin mengundang padah. Ada seorang penjual barangan elektronik dan komputer baru2 ini di tahan reman untuk soal siasat. Sebabnya hanya satu, dia terlupa memberitahu seorang pembeli bahawa wangnya sudah dipulangkan kerana ketiadaan stok. Kegagalan atau kelewatan memaklumkan kepada pembeli bahawa wang sudah dikembalikan boleh mengundang padah.

Tuesday, May 08, 2012

Tuduhan Kafir Rahim Noor Terhadap Nik Aziz dan Majlis Fatwa

Bila sebuah institusi mengeluarkan fatwa haram bagi umat Islam mengadakan demonstrasi yang kononnya boleh menyebabkan kacau bilau sedangkan yang memulakan kacau bilau datangnya bukan dari mereka yang berdemonstrasi, jelas kelihatan betapa murahnya golongan-golongan agama di negara ini yang sanggup diperkudakan sewenang-wenangnya hanya untuk memuaskan nafsu pihak tertentu. Golongan ini menjadikan diri mereka begitu hina sekali. Inilah dia golongan yang menjual agama untuk kepentingan dunia yang sedikit. Tetapi dengan kedudukan dan pangkat yang diberikan, mereka kelihatan gagah dan kuat namun hakikatnya mereka sekadar anjing-anjing yang menjilat-jilat kaki tuannya untuk mendapatkan habuan yang sedikit.

Sehari lepas itu Rahim Noor bekas IGP mengeluarkan 'fatwa' mengkafirkan Nik Aziz Nik Mat tokoh agama yang juga Mursyidul Am PAS. Jika pembangkang mengeluarkan kenyataan seseorang itu adalah kafir kerana tidak menurut apa yang dihukumkan oleh Allah maka tentu ada golongan yang terasa seperti makan cili dan pedasnya dirasai hingga ke usus dan sekali lagi golongan-golongan penjual-penjual agama akan ditugaskan untuk menghilangkan rasa pedas dengan mengeluarkan fatwa yang berpihak kepada mereka agar rasa pedas dapat dibendung.

Tidak mengapa jika Rahim Noor ingin bercakap mengenai agama kerana Islam bukan agama kepadrian yang meletakkan autoriti hanya kepada golongan tertentu untuk bercakap mengenai agama namun apabila bercakap sehingga mengkafirkan seseorang, tuduhan kafir itu akan kembali kepada dirinya jika yang dikafirkan itu tidak kafir.

Jatuh menjadi kafir orang yang mengkafirkan seseorang yang tidak kafir bukan sesuatu yang dapat dilihat oleh institusi pembuat fatwa kerana kafir pada seseorang itu bukan suatu yang boleh dilihat dan boleh ditanggal-tanggal seperti baju, seluar atau stokin. Ia sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia namun Allah dapat melihatnya kerana Dialah Yang Maha Melihat tidak kira samada Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa Rahim Noor tidak kafir atau sebaliknya. Semoga mereka yang berada di dalam Majlis Fatwa sedar bahawa apa yang terluah dari mulut Rahim Noor itu merupakan satu ujian dan bala yang diturunkan oleh Allah kepada mereka. Lagikan di dunia sudah ditunjukkan, bagaimanakah pula di akhirat nanti.

Monday, May 07, 2012

Orang Bertamaddun Yang Mahu Kerajaan Bertamaddun

Adakah menjadi satu kesalahan untuk "mengguling" kerajaan yang sedang memerintah dan diganti dengan satu kerajaan lain yang menjadi pilihan majoriti rakyat melalui satu proses pilihanraya? Bukankah itu hakikat pilihanraya? Iaitu yang menjadi pilihan majoriti rakyat akan memerintah dan yang tidak menjadi pilihan majoriti rakyat akan menjadi pembangkang.

Seandainya kerajaan yang memerintah tidak mendapat undi majoriti yang sepatutnya maka ia akan "digulingkan" dan kerajaan akan berpindah tangan dari kerajaan yang ada sekarang menjadi pembangkang dan parti-parti politik yang dahulunya pembangkang pula akan membentuk kerajaan dan akan memerintah.

Selepas melancarkan Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di padang Pusat Sivik Gua Musang, Najib berkata Bersih 3.0 adalah percubaan "menggulingkan kerajaan". Samada orang-orang Gua Musang termakan atau tidak dengan kata-kata Najib itu soal lain. Apa yang pasti orang-orang Gua Musang pasti tidak lupa bahawa diri mereka adalah orang-orang Kelantan yang berhak menerima royalti petroleum tetapi ia masih tertangguh.

Najib berkata bahawa beliau tabik kepada orang Gua Musang kerana orang Gua Musang lebih bertamadun kerana tidak seperti peserta Bersih 3.0. Menurut Najib penduduk Gua Musang mencerminkan masyarakat madani, menghormati prinsip undang-undang dan tidak mahu kacau bilau.

Tepat sekali kenyataan Najib itu kerana bertamaddunnya orang-orang Gua Musang itulah maka mereka akan pilih satu kerajaan yang bertamaddun, bertanggungjawab dan mampu menyelesaikan isu royalti petroleum yang sekian lama tertangguh. Royalti petroleum akan menjadi milik rakyat Kelantan sekiranya orang-orang Gua Musang dapat membantu menggulingkan kerajaan pusat yang sedia ada kepada kerajaan pusat yang baru. Semua itu akan berlaku melalui peti undi pilihanraya. Syabas orang Gua Musang!

Friday, May 04, 2012

Bersih dan Komunis

Bekas Ketua Polis Negara kata perhimpunan di ibu negara yang bertukar menjadi ganas Sabtu lepas boleh jadi didalangi pelbagai pihak termasuk individu yang cuba menyebarkan ideologi komunis.

Pertama-tama syabas diucapkan kepada Bekas IGP itu kerana kenyataan yang beliau beri mencerminkan beliau masih prihatin tentang keselamatan negara.

Saya sangat bersetuju dengan beliau kerana negara yang halang rakyatnya berdemo sehingga menggunakan kekerasan untuk halang orang berdemo adalah negara Komunis. Maka amat benar perhimpunan Bersih 3.0 ada unsur Komunis.

Saturday, April 28, 2012

Bersih 3.0 dan Kemahuan Rakyat

Ada yang kata 250,000 ada yang kata 500,000 tapi hakikatnya Perhimpunan Bersih 3.0 mengundang lautan manusia di bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun perhimpunan Bersih 3.0 bermula pada pukul 2.00 namun aktiviti para peserta adalah sejak awal pagi. Solat waktu Zohor di Masjid Negara bagai solat waktu Jumaat. Jika sebelum 2.00 petang ramai orang maka selepas pukul 2.00 tidak perlu ditanya lagi. Peserta Bersih 3.00 kali ini kelihatan lebih ramai berbanding dulu.

Beberapa hari sebelum Bersih 3.0 isu LGBT pula dimainkan. Ya, LGBT suatu yang sangat bertentangan dengan mana-mana ajaran agama. Nasharuddin Mat Isa yang dulunya TImbalan Presiden kini mempertikai Ambiga kerana pembelaan Ambiga terhadap golongan LGBT. Yang salah tetap salah. Tapi Bersih 3.0 bukan mengenai orang yang menganjurkan Bersih 3.0, bukan mengenai Ambiga, bukan mengenai Anwar, bukan mengenai UMNO, bukan, mengenai PAS, bukan mengenai Pakatan Rakyat, bukan mengenai BN. Ia adalah mengenai rakyat yang sangat-sangat tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya. Rakyat mahukan senarai undi dibersihkan, rakyat mahu reformasi undi pos, rakyat mahu guna dakwat kekal, rakyat mahu akses media yang adil, rakyat mahu kempen minima 21 hari, rakyat mahu institusi awam yang lebih kukuh, dan rakyat mahu rasuah dan politik kotor dihentikan.

Berilah rakyat wang tunai malahan timbunan emas sekali pun, ya rakyat akan terima. Tetapi rakyat terima bukan kerana mereka boleh dijual beli. Rakyat bertindak seperti anjing menggigit tangan tuan yang memberi makan mungkin kerana dosa kerajaan yang selama ini menganjingkan-anjingkan rakyat. Tambahan rakyat tahu pemberian itu bukan datang dari golongan yang memerintah. Ia semua datang dari hasil-mahsul negara yang diusahakan oleh rakyat juga. Bersih 3.0 membuktikan rakyat sudah muak, jelik, benci, meluat dan menyampah kepada sesuatu yang mereka tidak gemari dan rakyat mahukan perubahan. PRU13 bakal tiba dan disitulah nanti rakyat akan menghukum golongan yang menyusahkan mereka dan memberi hadiah kepada golongan yang boleh membawa perubahan.

Friday, April 27, 2012

Cara Hidup Rakyat Atas Ketua-Ketua Mereka

Berita yang saya baca tidak saya baca dengan sepenuhnya namun saya perolehi ketika membaca akhbar The Star dalam ruangan petikan berita-berita dari akhbar lain yang memetik satu berita dari Harian Metro mengenai seorang ibu di Johor membiarkan 10 orang anaknya kelaparan di rumah sedangkan ibu yang mendapat bantuan kewangan dari saya tidak ingat samada pertubuhan kebajikan atau dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menggunakan wang tersebut untuk melawa dan bersosial.

"Agama sesuatu kaum itu adalah di atas ketua-ketua mereka..." begitulah bunyinya satu petikan Hadis yang menyatakan "Millati" yang diterjemah sebagai agama. Milati ini bila ditanya kepada orang yang tahu malah yang mahir dalam bahasa Arab sekali pun akan memberikan jawapan yang berbeza. Maka jadinya lain orang maka lain jawapannya. Ada mengatakan "millati" itu "cara hidup" atau "jalan hidup" dan ada juga mengatakan ia bermaksud "agama". Sedangkan "agama" itu juga diguna untuk menterjemah perkataan "Din" dalam bahasa Arab.

Begitulah rakyat jelata yang sekian lama dipimpin oleh para korapwan dan korapwati tentu sekali mencontohi "millah" yang secara tidak lansung ditunjukkan oleh pemimpin mereka yang selama ini membiarkan rakyat dibelenggu kemiskinan. Bukan miskin tidak bekerja tapi miskin disebabkan oleh kenaikan harga barangan. Dulu orang yang tidak berkenderaan atau sekadar menaiki motosikal 50 ringgit boleh diguna untuk seminggu tapi kini usah ditanya lagi.

Ini semua kerana salah urus tadbir dan kepincangan disebabkan oleh para korapwan dan korapwati yang menjadikan rakyat terus sengsara. Itu sebab dia sedar dan meminta maaf dan mengakui kesilapan. Tapi jenis cacing yang belum jadi naga memang begitulah perangai mereka. Bila menggelepar cacing-cacing yang kepanasan itu maka mulalah pujuk dengan gula-gula dalam bentuk jumlah wang tertentu. Hakikatnya jika dia berjaya menawan kembali hati rakyat-rakyat yang sememangnya terdiri dari rakyat pasca-feudalism yang sememangnya bodoh dan mudah pula untuk diperbodoh-bodohkan makan dia akan minta kembali wang itu dengan cara halus. Mulalah wujud berbagai jenis amanah saham dan bermacam-macam lagi jenis lagi skim-skim halal untuk mengutip kembali apa yang telah diberi. Tak percaya tengoklah nanti!

Thursday, April 26, 2012

Mastura, Harimau dan Pagar Besi

Kasihan membaca berita kematian seorang gadis Mastura Kamruddin, 16 mengalami trauma akibat dieekori harimau. Ketika berlari ketakutan Mastura dikatakan tercedera dan mengalami sedikit luka pada kaki dan pinggang. Luka di kaki dikatakan semakin parah menyebabkan dia lemah tidak dapat berjalan sehingga terpaksa didukung untuk ke bilik air dan perlukan jagaan sepanjang masa.

Luka tersebut mungkin menyebabkan kematian Mastura kerana laporan hospital menyebut gadis yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati tersebut disebabkan oleh jangkitan kumah di dalam darah.

Apa dialami Mastura sudah terjadi dan dia telah pergi meninggalkan kita buat selamanya dan apa dialaminya tidak dapat dielakkan kerana Mastura berada di habitat atau persekitaran yang di diami oleh binatang tersebut.

Adakah terdapat cara untuk mengelak binatang dari memasuki kawasan berhampiran dengan habitat mereka adalah suatu yang menarik untuk kita fikirkan. Bagaimana sekiranya pagar didirikan mensempadani antara kawasan menoreh atau apa jua kawasan yang melibatkan kegiatan ekonomi dengan kawasan habitat binatang buas. Dan dalam hal ini siapakah yang seharusnya bertanggungjawab mendirikannya?

Mungkinkah mendirikan pagar tersebut bukan suatu yang realistik mungkin kerana ini satu kes terpencil atau kita ingin tunggu Mastura yang seterusnya sehingga bilangan menjadi berMastura-Mastura baru hendak kita kata "kini telah tiba masanya" dan barulah kita hendak bina pagar besi mensempadani antara kawasan kegiatan ekonomi dan habitat binatang buas.

Jika pagar besi menjadi realiti pasti para pencuri besi ternanti-nanti berita baik ini. Lagikan harta awam seperti kabel elektrik maupun besi penutup lubang di kawasan perumahan tempat orang lalu-lang dengan mudah dirembat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab apatah lagi pagar besi yang terletak di pinggir hutan mungkin merupakan "rezeki" terpijak buat para pencuri itu.

Amat mustahil untuk kita mengajak binatang-binatang buas bermesyuarat agar kita berikan tugas membaham para pencuri pagar besi kepada mereka. "Errr.. Encik Harimau, saya tugaskan En. Harimau dan suku-sakat En. Harimau untuk membaham para pencuri pagar besi" Amat tidak logik sekali bunyinya.... Tentu mudah sekiranya harimau atau binatang-binatang buas atau tidak buas boleh di ajak bermesyuarat dan diberikan tugas untuk menjaga pagar besi agar tidak dicuri oleh para manusia durjana. Tetapi semua itu mustahil dan tidak akan terjadi dan realitinya terpaksalah kita berhadapan dengan manusia-manusia yang adakala berakal macam otak lembu untuk menyelesaikan masalah kita sesama manusia.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan penguasa yang bukan sahaja meng-akta-kan undang-undang malah disertakan sekali dengan pelaksanaan. Hukuman mati adalah yang terbaik bagi pesalah yang mencuri harta awam(rakyat). Ini demi untuk kebaikan, kemaslahatan dan keselamatan rakyat yang berhadapan dengan bahaya maut. Namun semua ini tidak dapat dilaksanakan tanpa campurtangan orang politik dan tentu sekali yang paling kehadapan untuk menentang perkara sebegini juga adalah ahli politik yang pro-pencuri, pro-perompak, pro-penyamun dan pro-lanun yang tidak mahu hukuman berat dijatuhkan ke atas penjenayah. Ini kerana pada hakikatnya ahli politiklah yang sebenar-benarnya pencuri, perompak, penyamun dan penjenayah yang nama mereka sepatutnya berada di atas sekali dalam senarai pesalah yang sepatutnya dihukum tembak sampai mati.

al-Fatihah Untuk Mastura Kamaruddin.