Saturday, May 21, 2011

Tanah Runtuh : Ada Otak Pandai, Ada Akal Pakai

"12 Maut, 4 Tertimbus" begitu dilaporkan oleh sebuah akhbar arus perdana mengenai kejadian di Hulu Langat. Apa yang terjadi merupakan satu ketetapan yang telah ditetapkan Allah Maha Esa. Yang pergi kerana ajal mereka telah tiba. Yang terselemata pasti bersyukur yang tidak terhingga.

Berita TV1 RTM malam tadi ada menyatakan sebelum ini pernah berlaku kejadian tanah runtuh samada di kawasan tersebut atau berhampiran. Mungkin tanah runtuh itu tidak memakan korban manusia lalu ia mungkin tidak dipandang serius maka ia tidak dilaporkan.

Pihak yang berwajib pula hanya bertindak di atas laporan. Jika mereka bertindak terhadap sesuatu tanpa sebarang laporan maka mereka akan dikatakan memandai-mandai. Misalnya pihak berwajib mendesak penduduk berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain maka macam-macam akan timbul. Maka untuk mengelak masalah dengan orang awam pihak berwajib walaupun tahu risiko kejadian tanah runtuh mereka tetap tidak akan bertindak kerana tiada laporan.

Pernah ketika Utara-Selatan melepasi Ipoh menaiki kereta melalui lebuhraya Utara-Selatan dan perjalanan berbukit terpandang saya satu kawasan di dalam hutan di antara bukit-bukit itu kelihatan tanah satu kawasan tanah runtuh. Luasnya boleh tahan iaitu 3/4 (tiga perempat) luas padang bolasepak. Bagaimanapun ia kejadian di dalam hutan. Harimau, babi hutan, pelanduk, rusa, ular sawa, tapir, tupai, monyet, kera, siamang MUNGKIN antara mangsa korban.

Tetapi kejadian jauh dari manusia itu tidak diuar-uarkan samada media cetak atau elektronik kerana ia jauh dalam hutan dan sekadar melibatkan binatang-binatang dalam hutan. Atau binatang-binatang sebagaimana diketahui adalah makhluk yang dapat mengesan sesuatu malapetaka atau bala bencana sebelum ia muncul.

Haiwan tidak perlu kepada ANN (Animal News Network) untuk diuar-uarkan kepada binatang-binatang yang luar dari lingkaran kejadian tanah runtuh dalam hutan. Binatang yang mungkin dapat kesan malapetaka atau bencana itu tadi mungkin dengan pantas dapat menyelematkan diri. Itulah hebatnya binatang atau haiwan yang bukan manusia. Tetapi manusia tidak ada deria yang mengesan kejadian. Yang ada pada manusia dan yang membezakan mereka dengan binatang atau haiwan adalah AKAL. Maka dengan AKAL manusia boleh berbuat sesuatu bagi mengelakkan kejadian yang sama daripada berlaku di masa hadapan.

Bencana tanah runtuh mungkin tidak dapat dielak tapi menjauhkan diri dari tanah runtuh itulah yang mungkin dapat dilakukan. Pihak yang tahu sifat-sifat dan struktur tanah samada boleh mendatangkan bencana tentunya pihak berwajib yang bukannya harimau atau kera yang tidak berakal. Mereka tentu terdiri dari jurutera tanah atau geologis yang sangat mahir dalam kerja mereka. Kalau tidak mereka tidak dilantik memegang jawatan masing-masing yang gajinya mungkin dibayar melalui cukai-cukai oleh rakyat yang mengalami kejadian tanah runtuh.

Sekarang berlaku lagi satu kejadian tanah runtuh dan ia melibatkan nyawa manusia. Buatlah laporan macam mana pun, yang terjadi telahpun terjadi dan yang pergi tidak akan kembali. "Ada otak pandai, ada akal pakai..." begitu bunyi satu petikan lirik lagu Pak Pandir. Betul kata Pak Pandir kerana dengan AKAL manusia yang ada otak, ada pandai, ada akal dapat pakai otak-otak mereka bagi mencorak satu mekanisme bagi mengelak bencana sebegini dari terjadi pada masa akan datang. Bukan sekadar menambah angka dalam jadual statistik tanah runtuh cukup bulan dapat gaji!

Takziah kepada ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Rumah Persatuan Anak Yatim Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat. Ini semua ujian Allah. Semoga roh mereka yang tekorban dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.