Wednesday, November 21, 2012

Takuti Doa Orang Yang Kita Zalimi

Apabila seseorang itu berdoa maka dia sedang meminta sesuatu. Dia meminta bukannya kepada orang lain atau mana-mana makhluk yang lain tetapi kepada Tuhan yang menjadikannya. Bermakna apabila dia berdoa dia sedang berkata-kata dan meminta kepada Tuhannya.
Tidak kira apa jua bahasa atau nada atau apa sahaja cara sebutannya maka itu adalah urusan dia dengan Tuhannya. Kita tidak boleh marah kerana cara dia berdoa pun adalah urusan dia dengan Tuhan.
Antara doa-doa yang makbul ialah doa orang-orang yang dizalimi. Sabda Rasulullah s.a.w kepada Mu’adh bin Jabal ketika baginda mengutusnya ke Yaman yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a: “Dan takutlah engkau akan doa orang yang dizalimi, sesungguhnya (doa orang yang dizalimi itu) tidak ada di antaranya dan di antara Allah pendinding.” (Bukhari).
Sekirannya kita melakukan kezaliman terhadap seseorang maka kita sepatutnya merasa takut terhadap doa orang yang kita zalimi itu. Ini kerana tiada hijab doa orang yang kita zalimi itu dengan Allah tidak kira dia Islam atau bukan Islam!
Katakanlah kita seorang penerbit buku yang sepaptutnya menjelaskan bayaran royalti kepada seorang penulis  buku yang bernaung di bawah syarikat penerbitan kita. Apabila tiba waktu untuk kita menjelaskan bayaran maka kita pun buat tak tau atau kita menipu penulis itu dengan berbagai alasan agar keuntungan ada di pihak kita. Atau kita sengaja menyusahkan penulis buku itu tadi dengan menubuhkan macam-macam jawatankuasa agar kita tidak membayar royalti. Maka itu perbuatan yang zalim namanya.
Pada suatu hari ketika kita berada di dalam sebuah masjid kedengaran oleh kita penulis buku yang sepatutnya mendapat royalti itu tadi berdoa kepada Tuhan agar kita dihancurkan. Maka kita pun merasa takut. Bolehkah kita meroyan marah kerana dia berdoa kepada Tuhan untuk kehancuran kita sedangkan kita berada di pihak yang zalim?
Sepatutnya kita bertemu dengan penulis yang berdoa itu tadi. Meminta maaf kepadanya dan berjanji kepadanya untuk menjelaskan haknya dan meminta dia menarik kembali doanya dan bukannya meroyan satu dunia sehingga orang yang tak tau  pun jadi tau.
Bagaimana pula jika kita ini seorang penerbit buku yang baik dan telah pun menjelaskan bayaran atau hak penulis buku itu tadi? Jangan bimbang, mustahil dia akan mendoakan kehancuran kepada orang yang tidak menzaliminya.

Monday, November 12, 2012

Jual Beli Online : Peniaga Online Perlu Berhati-hati


Penjual yang jujur juga harus berhati hati sedikit kesilapan mungkin mengundang padah. Ada seorang penjual barangan elektronik dan komputer baru2 ini di tahan reman untuk soal siasat. Sebabnya hanya satu, dia terlupa memberitahu seorang pembeli bahawa wangnya sudah dipulangkan kerana ketiadaan stok. Kegagalan atau kelewatan memaklumkan kepada pembeli bahawa wang sudah dikembalikan boleh mengundang padah.