Thursday, April 26, 2012

Mastura, Harimau dan Pagar Besi

Kasihan membaca berita kematian seorang gadis Mastura Kamruddin, 16 mengalami trauma akibat dieekori harimau. Ketika berlari ketakutan Mastura dikatakan tercedera dan mengalami sedikit luka pada kaki dan pinggang. Luka di kaki dikatakan semakin parah menyebabkan dia lemah tidak dapat berjalan sehingga terpaksa didukung untuk ke bilik air dan perlukan jagaan sepanjang masa.

Luka tersebut mungkin menyebabkan kematian Mastura kerana laporan hospital menyebut gadis yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati tersebut disebabkan oleh jangkitan kumah di dalam darah.

Apa dialami Mastura sudah terjadi dan dia telah pergi meninggalkan kita buat selamanya dan apa dialaminya tidak dapat dielakkan kerana Mastura berada di habitat atau persekitaran yang di diami oleh binatang tersebut.

Adakah terdapat cara untuk mengelak binatang dari memasuki kawasan berhampiran dengan habitat mereka adalah suatu yang menarik untuk kita fikirkan. Bagaimana sekiranya pagar didirikan mensempadani antara kawasan menoreh atau apa jua kawasan yang melibatkan kegiatan ekonomi dengan kawasan habitat binatang buas. Dan dalam hal ini siapakah yang seharusnya bertanggungjawab mendirikannya?

Mungkinkah mendirikan pagar tersebut bukan suatu yang realistik mungkin kerana ini satu kes terpencil atau kita ingin tunggu Mastura yang seterusnya sehingga bilangan menjadi berMastura-Mastura baru hendak kita kata "kini telah tiba masanya" dan barulah kita hendak bina pagar besi mensempadani antara kawasan kegiatan ekonomi dan habitat binatang buas.

Jika pagar besi menjadi realiti pasti para pencuri besi ternanti-nanti berita baik ini. Lagikan harta awam seperti kabel elektrik maupun besi penutup lubang di kawasan perumahan tempat orang lalu-lang dengan mudah dirembat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab apatah lagi pagar besi yang terletak di pinggir hutan mungkin merupakan "rezeki" terpijak buat para pencuri itu.

Amat mustahil untuk kita mengajak binatang-binatang buas bermesyuarat agar kita berikan tugas membaham para pencuri pagar besi kepada mereka. "Errr.. Encik Harimau, saya tugaskan En. Harimau dan suku-sakat En. Harimau untuk membaham para pencuri pagar besi" Amat tidak logik sekali bunyinya.... Tentu mudah sekiranya harimau atau binatang-binatang buas atau tidak buas boleh di ajak bermesyuarat dan diberikan tugas untuk menjaga pagar besi agar tidak dicuri oleh para manusia durjana. Tetapi semua itu mustahil dan tidak akan terjadi dan realitinya terpaksalah kita berhadapan dengan manusia-manusia yang adakala berakal macam otak lembu untuk menyelesaikan masalah kita sesama manusia.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan penguasa yang bukan sahaja meng-akta-kan undang-undang malah disertakan sekali dengan pelaksanaan. Hukuman mati adalah yang terbaik bagi pesalah yang mencuri harta awam(rakyat). Ini demi untuk kebaikan, kemaslahatan dan keselamatan rakyat yang berhadapan dengan bahaya maut. Namun semua ini tidak dapat dilaksanakan tanpa campurtangan orang politik dan tentu sekali yang paling kehadapan untuk menentang perkara sebegini juga adalah ahli politik yang pro-pencuri, pro-perompak, pro-penyamun dan pro-lanun yang tidak mahu hukuman berat dijatuhkan ke atas penjenayah. Ini kerana pada hakikatnya ahli politiklah yang sebenar-benarnya pencuri, perompak, penyamun dan penjenayah yang nama mereka sepatutnya berada di atas sekali dalam senarai pesalah yang sepatutnya dihukum tembak sampai mati.

al-Fatihah Untuk Mastura Kamaruddin.

No comments: