Saturday, April 28, 2012

Bersih 3.0 dan Kemahuan Rakyat

Ada yang kata 250,000 ada yang kata 500,000 tapi hakikatnya Perhimpunan Bersih 3.0 mengundang lautan manusia di bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun perhimpunan Bersih 3.0 bermula pada pukul 2.00 namun aktiviti para peserta adalah sejak awal pagi. Solat waktu Zohor di Masjid Negara bagai solat waktu Jumaat. Jika sebelum 2.00 petang ramai orang maka selepas pukul 2.00 tidak perlu ditanya lagi. Peserta Bersih 3.00 kali ini kelihatan lebih ramai berbanding dulu.

Beberapa hari sebelum Bersih 3.0 isu LGBT pula dimainkan. Ya, LGBT suatu yang sangat bertentangan dengan mana-mana ajaran agama. Nasharuddin Mat Isa yang dulunya TImbalan Presiden kini mempertikai Ambiga kerana pembelaan Ambiga terhadap golongan LGBT. Yang salah tetap salah. Tapi Bersih 3.0 bukan mengenai orang yang menganjurkan Bersih 3.0, bukan mengenai Ambiga, bukan mengenai Anwar, bukan mengenai UMNO, bukan, mengenai PAS, bukan mengenai Pakatan Rakyat, bukan mengenai BN. Ia adalah mengenai rakyat yang sangat-sangat tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya. Rakyat mahukan senarai undi dibersihkan, rakyat mahu reformasi undi pos, rakyat mahu guna dakwat kekal, rakyat mahu akses media yang adil, rakyat mahu kempen minima 21 hari, rakyat mahu institusi awam yang lebih kukuh, dan rakyat mahu rasuah dan politik kotor dihentikan.

Berilah rakyat wang tunai malahan timbunan emas sekali pun, ya rakyat akan terima. Tetapi rakyat terima bukan kerana mereka boleh dijual beli. Rakyat bertindak seperti anjing menggigit tangan tuan yang memberi makan mungkin kerana dosa kerajaan yang selama ini menganjingkan-anjingkan rakyat. Tambahan rakyat tahu pemberian itu bukan datang dari golongan yang memerintah. Ia semua datang dari hasil-mahsul negara yang diusahakan oleh rakyat juga. Bersih 3.0 membuktikan rakyat sudah muak, jelik, benci, meluat dan menyampah kepada sesuatu yang mereka tidak gemari dan rakyat mahukan perubahan. PRU13 bakal tiba dan disitulah nanti rakyat akan menghukum golongan yang menyusahkan mereka dan memberi hadiah kepada golongan yang boleh membawa perubahan.

No comments: