Saturday, April 28, 2012

Bersih 3.0 dan Kemahuan Rakyat

Ada yang kata 250,000 ada yang kata 500,000 tapi hakikatnya Perhimpunan Bersih 3.0 mengundang lautan manusia di bandaraya Kuala Lumpur. Walaupun perhimpunan Bersih 3.0 bermula pada pukul 2.00 namun aktiviti para peserta adalah sejak awal pagi. Solat waktu Zohor di Masjid Negara bagai solat waktu Jumaat. Jika sebelum 2.00 petang ramai orang maka selepas pukul 2.00 tidak perlu ditanya lagi. Peserta Bersih 3.00 kali ini kelihatan lebih ramai berbanding dulu.

Beberapa hari sebelum Bersih 3.0 isu LGBT pula dimainkan. Ya, LGBT suatu yang sangat bertentangan dengan mana-mana ajaran agama. Nasharuddin Mat Isa yang dulunya TImbalan Presiden kini mempertikai Ambiga kerana pembelaan Ambiga terhadap golongan LGBT. Yang salah tetap salah. Tapi Bersih 3.0 bukan mengenai orang yang menganjurkan Bersih 3.0, bukan mengenai Ambiga, bukan mengenai Anwar, bukan mengenai UMNO, bukan, mengenai PAS, bukan mengenai Pakatan Rakyat, bukan mengenai BN. Ia adalah mengenai rakyat yang sangat-sangat tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya. Rakyat mahukan senarai undi dibersihkan, rakyat mahu reformasi undi pos, rakyat mahu guna dakwat kekal, rakyat mahu akses media yang adil, rakyat mahu kempen minima 21 hari, rakyat mahu institusi awam yang lebih kukuh, dan rakyat mahu rasuah dan politik kotor dihentikan.

Berilah rakyat wang tunai malahan timbunan emas sekali pun, ya rakyat akan terima. Tetapi rakyat terima bukan kerana mereka boleh dijual beli. Rakyat bertindak seperti anjing menggigit tangan tuan yang memberi makan mungkin kerana dosa kerajaan yang selama ini menganjingkan-anjingkan rakyat. Tambahan rakyat tahu pemberian itu bukan datang dari golongan yang memerintah. Ia semua datang dari hasil-mahsul negara yang diusahakan oleh rakyat juga. Bersih 3.0 membuktikan rakyat sudah muak, jelik, benci, meluat dan menyampah kepada sesuatu yang mereka tidak gemari dan rakyat mahukan perubahan. PRU13 bakal tiba dan disitulah nanti rakyat akan menghukum golongan yang menyusahkan mereka dan memberi hadiah kepada golongan yang boleh membawa perubahan.

Friday, April 27, 2012

Cara Hidup Rakyat Atas Ketua-Ketua Mereka

Berita yang saya baca tidak saya baca dengan sepenuhnya namun saya perolehi ketika membaca akhbar The Star dalam ruangan petikan berita-berita dari akhbar lain yang memetik satu berita dari Harian Metro mengenai seorang ibu di Johor membiarkan 10 orang anaknya kelaparan di rumah sedangkan ibu yang mendapat bantuan kewangan dari saya tidak ingat samada pertubuhan kebajikan atau dari Jabatan Kebajikan Masyarakat menggunakan wang tersebut untuk melawa dan bersosial.

"Agama sesuatu kaum itu adalah di atas ketua-ketua mereka..." begitulah bunyinya satu petikan Hadis yang menyatakan "Millati" yang diterjemah sebagai agama. Milati ini bila ditanya kepada orang yang tahu malah yang mahir dalam bahasa Arab sekali pun akan memberikan jawapan yang berbeza. Maka jadinya lain orang maka lain jawapannya. Ada mengatakan "millati" itu "cara hidup" atau "jalan hidup" dan ada juga mengatakan ia bermaksud "agama". Sedangkan "agama" itu juga diguna untuk menterjemah perkataan "Din" dalam bahasa Arab.

Begitulah rakyat jelata yang sekian lama dipimpin oleh para korapwan dan korapwati tentu sekali mencontohi "millah" yang secara tidak lansung ditunjukkan oleh pemimpin mereka yang selama ini membiarkan rakyat dibelenggu kemiskinan. Bukan miskin tidak bekerja tapi miskin disebabkan oleh kenaikan harga barangan. Dulu orang yang tidak berkenderaan atau sekadar menaiki motosikal 50 ringgit boleh diguna untuk seminggu tapi kini usah ditanya lagi.

Ini semua kerana salah urus tadbir dan kepincangan disebabkan oleh para korapwan dan korapwati yang menjadikan rakyat terus sengsara. Itu sebab dia sedar dan meminta maaf dan mengakui kesilapan. Tapi jenis cacing yang belum jadi naga memang begitulah perangai mereka. Bila menggelepar cacing-cacing yang kepanasan itu maka mulalah pujuk dengan gula-gula dalam bentuk jumlah wang tertentu. Hakikatnya jika dia berjaya menawan kembali hati rakyat-rakyat yang sememangnya terdiri dari rakyat pasca-feudalism yang sememangnya bodoh dan mudah pula untuk diperbodoh-bodohkan makan dia akan minta kembali wang itu dengan cara halus. Mulalah wujud berbagai jenis amanah saham dan bermacam-macam lagi jenis lagi skim-skim halal untuk mengutip kembali apa yang telah diberi. Tak percaya tengoklah nanti!

Thursday, April 26, 2012

Mastura, Harimau dan Pagar Besi

Kasihan membaca berita kematian seorang gadis Mastura Kamruddin, 16 mengalami trauma akibat dieekori harimau. Ketika berlari ketakutan Mastura dikatakan tercedera dan mengalami sedikit luka pada kaki dan pinggang. Luka di kaki dikatakan semakin parah menyebabkan dia lemah tidak dapat berjalan sehingga terpaksa didukung untuk ke bilik air dan perlukan jagaan sepanjang masa.

Luka tersebut mungkin menyebabkan kematian Mastura kerana laporan hospital menyebut gadis yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati tersebut disebabkan oleh jangkitan kumah di dalam darah.

Apa dialami Mastura sudah terjadi dan dia telah pergi meninggalkan kita buat selamanya dan apa dialaminya tidak dapat dielakkan kerana Mastura berada di habitat atau persekitaran yang di diami oleh binatang tersebut.

Adakah terdapat cara untuk mengelak binatang dari memasuki kawasan berhampiran dengan habitat mereka adalah suatu yang menarik untuk kita fikirkan. Bagaimana sekiranya pagar didirikan mensempadani antara kawasan menoreh atau apa jua kawasan yang melibatkan kegiatan ekonomi dengan kawasan habitat binatang buas. Dan dalam hal ini siapakah yang seharusnya bertanggungjawab mendirikannya?

Mungkinkah mendirikan pagar tersebut bukan suatu yang realistik mungkin kerana ini satu kes terpencil atau kita ingin tunggu Mastura yang seterusnya sehingga bilangan menjadi berMastura-Mastura baru hendak kita kata "kini telah tiba masanya" dan barulah kita hendak bina pagar besi mensempadani antara kawasan kegiatan ekonomi dan habitat binatang buas.

Jika pagar besi menjadi realiti pasti para pencuri besi ternanti-nanti berita baik ini. Lagikan harta awam seperti kabel elektrik maupun besi penutup lubang di kawasan perumahan tempat orang lalu-lang dengan mudah dirembat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab apatah lagi pagar besi yang terletak di pinggir hutan mungkin merupakan "rezeki" terpijak buat para pencuri itu.

Amat mustahil untuk kita mengajak binatang-binatang buas bermesyuarat agar kita berikan tugas membaham para pencuri pagar besi kepada mereka. "Errr.. Encik Harimau, saya tugaskan En. Harimau dan suku-sakat En. Harimau untuk membaham para pencuri pagar besi" Amat tidak logik sekali bunyinya.... Tentu mudah sekiranya harimau atau binatang-binatang buas atau tidak buas boleh di ajak bermesyuarat dan diberikan tugas untuk menjaga pagar besi agar tidak dicuri oleh para manusia durjana. Tetapi semua itu mustahil dan tidak akan terjadi dan realitinya terpaksalah kita berhadapan dengan manusia-manusia yang adakala berakal macam otak lembu untuk menyelesaikan masalah kita sesama manusia.

Di sinilah perlunya kebijaksanaan penguasa yang bukan sahaja meng-akta-kan undang-undang malah disertakan sekali dengan pelaksanaan. Hukuman mati adalah yang terbaik bagi pesalah yang mencuri harta awam(rakyat). Ini demi untuk kebaikan, kemaslahatan dan keselamatan rakyat yang berhadapan dengan bahaya maut. Namun semua ini tidak dapat dilaksanakan tanpa campurtangan orang politik dan tentu sekali yang paling kehadapan untuk menentang perkara sebegini juga adalah ahli politik yang pro-pencuri, pro-perompak, pro-penyamun dan pro-lanun yang tidak mahu hukuman berat dijatuhkan ke atas penjenayah. Ini kerana pada hakikatnya ahli politiklah yang sebenar-benarnya pencuri, perompak, penyamun dan penjenayah yang nama mereka sepatutnya berada di atas sekali dalam senarai pesalah yang sepatutnya dihukum tembak sampai mati.

al-Fatihah Untuk Mastura Kamaruddin.