Monday, May 07, 2012

Orang Bertamaddun Yang Mahu Kerajaan Bertamaddun

Adakah menjadi satu kesalahan untuk "mengguling" kerajaan yang sedang memerintah dan diganti dengan satu kerajaan lain yang menjadi pilihan majoriti rakyat melalui satu proses pilihanraya? Bukankah itu hakikat pilihanraya? Iaitu yang menjadi pilihan majoriti rakyat akan memerintah dan yang tidak menjadi pilihan majoriti rakyat akan menjadi pembangkang.

Seandainya kerajaan yang memerintah tidak mendapat undi majoriti yang sepatutnya maka ia akan "digulingkan" dan kerajaan akan berpindah tangan dari kerajaan yang ada sekarang menjadi pembangkang dan parti-parti politik yang dahulunya pembangkang pula akan membentuk kerajaan dan akan memerintah.

Selepas melancarkan Karnival Komuniti 1Malaysia (K1M) anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, di padang Pusat Sivik Gua Musang, Najib berkata Bersih 3.0 adalah percubaan "menggulingkan kerajaan". Samada orang-orang Gua Musang termakan atau tidak dengan kata-kata Najib itu soal lain. Apa yang pasti orang-orang Gua Musang pasti tidak lupa bahawa diri mereka adalah orang-orang Kelantan yang berhak menerima royalti petroleum tetapi ia masih tertangguh.

Najib berkata bahawa beliau tabik kepada orang Gua Musang kerana orang Gua Musang lebih bertamadun kerana tidak seperti peserta Bersih 3.0. Menurut Najib penduduk Gua Musang mencerminkan masyarakat madani, menghormati prinsip undang-undang dan tidak mahu kacau bilau.

Tepat sekali kenyataan Najib itu kerana bertamaddunnya orang-orang Gua Musang itulah maka mereka akan pilih satu kerajaan yang bertamaddun, bertanggungjawab dan mampu menyelesaikan isu royalti petroleum yang sekian lama tertangguh. Royalti petroleum akan menjadi milik rakyat Kelantan sekiranya orang-orang Gua Musang dapat membantu menggulingkan kerajaan pusat yang sedia ada kepada kerajaan pusat yang baru. Semua itu akan berlaku melalui peti undi pilihanraya. Syabas orang Gua Musang!

No comments: