Friday, April 09, 2010

Ikan Keli, Ikan Haruan!

Bagai orang ketagih, hari ini dia beli lagi. Besar gemuk, tembam dan kenyal ikan-ikan yang dibelinya dari penjual yang sama. Seorang penjual ikan keli dan ikan haruan. Adakala di pasar malam atau pun sesekali di bawah flyover berhampiran simpang keluar dari kawasan perumahan kediamannya.

Semalam dia sekeluarga makan ikan haruan besar. Ikan dikelar, dimasak dengan bawang putih, halia dan sos tiram diperap hampir 3 jam agar meresap masuk rasa kesemua bahan. Sesudah dikukus dihidang di atas meja. Sedap dimakan dengan nasi putih dicicah pula ikan dalam sambal kicap yang asalnya dari segenggam kecil cili api yang dibubuh di dalam mangkuk, di tuang kicap dan diperah asam limau kasturi. Nikmat tidak terperi hidangan masakan sang isteri.

Hari ini dia kepingin lagi makan ikan air tawar. Dia tahu, dia seorang tidak cukup seekor setiap kali makan ikan keli yang besar itu. Hari ini masakan pasti sedap dan menyelerakan. Sang isteri yang sudah tahu akan selera suaminya itu masak lemak cili api ikan keli yang disalai di atas arang. Bahang salaian memerah minyak ikan keli keluar. "Mengurangkan kolestrol dan mengurangkan bau hanyir ikan" begitulah katanya jika ditanya kenapa keli dan haruan perlu disalai sebelum di masak dalam santan.

Kuah yang lemak, enak, lazat apatah lagi dimasak campur dengan asam mangga membuat kuah terasa asamnya menjadikan nasi yang baru sahaja selesai dua kali tambah sudah masuk tiga kali ini. Sedapnya tidak terperi. Malah jika ada ahli falsafah yang tahu betapa sedap masakan yang dimakan itu maka tiada kata-kata hikmat yang dapat digunakan bagi menggambarkan betapa sedapnya masakan itu.

Aroma keasap-asapan bau arang bercampur sabut pada kuah ikan keli yang disalai itu tadi benar-benar membangkitkan selera. Ikan itu di masak api sederhana kuat. Dikacau sentiasa agar menghalang santan bertaik-minyak namun tetap pekat.

"Wahai isteriku yang tercinta, jikalau di akhir masa nanti kanda ini mati dan ditempatkan di syurga dan ditanya bidadari akan kanda, apakah makanan yang ingin kanda nikmati. Apakah ingin mulut kanda ini disuapi sang bidadari berjari-jemari halus menyuapkan anggur-anggur manis sambil bibir bermain pada jari jemari sang bidadari yang terkujat, tergedik-gedik malu-malu kucing bila jari-jemari diberi gigit-gigit manja? Tidak sama sekali wahai isteriku yang rasa masakan mu ini tiada tolok bandingannya. Mungkin isteri kekanda inilah bidadari yang dimaksudkan di turunkan Tuhan dapat menyediakan masakan masakan paling sedap dari ikan haruan dan ikan keli. Mungkin kanda ini dilahirkan hanya untuk berkahwin dengan dinda dan menikmati keenakan ikan keli masakan isteri kanda yang tercinta. Maka tidak perlu lagi kanda memakan anggur-anggur dan sekian bagai buah-buah yang ada di syurga nanti walau disuap oleh jari-jemari halus sang bidadari..."

Begitulah madah dalam hati sang suami mengenangkan keenakan makanan yang disediakan isterinya dari ikan haruan dan ikan keli yang besar gemuk, tembam dan kenyal yang dibelinya dari seorang penjual ikan keli dan ikan haruan. Bukan semata-mata isteri pandai masak masakan kegemarannya tetapi kerana adanya ikan haruan dan ikan keli besar, gemuk, tembam dan kenyal itulah masakan yang dimakan itu terlalu sedap. Dan bukan semata-mata ikan haruan dan ikan keli itu gemuk, tembam dan kenyal itu mampu sedap dengan sendiri jika tidak kerana sang isteri menyediakannya. Begitulah jika ditimbal balik pertalian kepandaian isteri memasak dengan ikan-ikan haruan dan keli yang besar, gemuk, tembam dan kenyal itu.

Esok. Sekembali dari pejabat dia bergegas pulang. Bagai sudah terasa keenakan makanan yang bakal disantapinya nanti. Jika kelmarin gulai ikan keli salai dimasak dengan asam mangga muda kali ini ikan haruan bakal dinikmatinya. Gulai lemak cili api ikan haruan di masak dengan belimbing buluh dan tempoyak. Dicampur pula serai penyerlah aroma. "Aduuuh! Sedapnya nanti ni...." Bisiknya dalam hati.

Lampu merah. Kenderaan dipandu pegun seketika. Di kanannya ada pembahagi jalan memisah jalan kenderaan dari arah bertentangan. Di pinggir jalan yang arah bertentangan itulah dia terpandang satu kolam dan ketika menunggu lampu kembali hijau matanya terpandang kelibat penjual ikan keli dan ikan haruan keluar dari satu lorong kecil dengan motosikal Honda kap dari arah kolam itu. Tidak puas hati tingkap automatik kenderaan pacuan empat rodanya diturunkan. Bau hapak udara dari kolam menusuk hidungnya. Di tepi kolam itu kelihatan papan-tanda kecil dan tertera "AWAS! KOLAM KUMBAHAN INI MILIK INDAH WATER".

Tingkap ditutup kembali rapat. Lampu trafik hijau. Kenderaan pacuan empat rodanya bergerak perlahan. Sambil hatinya hanya mampu berkata "ikan keli, ikan haruan, gemuk, tembam, kenyal dan ..... rupa-rupanya dari kolam kumbahan".

No comments: